BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 4 May 2010

[ARTIKEL] PCI: Warkah Pengerusi PCI: KSPCI

from alexmed, posted by

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan lebih kita bersukan akhirnya KSPCI telah berjaya melabuhkan tirai dengan gemilangnya pada hari Jumaat yang lepas. Tahniah saya ucapkan kepada para pemenang setiap acara yang dipertandingkan dan Lord Sapphire(rumah biru) yang telah memberi kejutan kepada semua dengan menggondol juara keseluruhan. Tidak lupa juga tahniah diucapkan kepada Red Dragon kerana berjaya membawa pulang piala Maskot terbaik, Green Worrior tempat kedua dan Bumble Bee tempat ketiga. Rumusan yang boleh saya buat disini adalah, semua rumah sukan berjaya membawa pulang piala masing-masing.

Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga PCI atas segala kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini terutamanya Pengarah, Timbalan Pengarah serta AJK pelaksana program. Semoga segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, komitmen, sakit pening mendapat ganjaran yang setimpal dari ALLAH swt. Memang menjadi lumrah dalam menganjurkan sesuatu program, beberapa masalah timbul seperti masalah kekurangan bajet, masalah tempat dan peserta. Tetapi, masalah-masalah inilah yang mematangkan kita dalam bertindak dan menyelesaikan masalah. Sesungguhnya ia adalah pengajaran yang cukup berharga kepada sesiapa sahaja yang melaluinya.

Di harap dengan perlaksanaan program ini, ukhuwwah dalam kalangan kita semua bertambah erat dan kita saling mengenali antara satu dengan yang lain. Semoga segala kenangan manis ini tersemat dalam ingatan kita buat selama-lamanya.

Namun begitu, beberapa peringatan yang ingin saya sampaikan sebagai muhasabah kepada diri saya dan sahabat-sahabat sekalian. Dalam kita bergembira dan bersemangat menjayakan sukan, hukum-hakam Islam perlulah diikuti. Sebagai seorang yang beragama Islam, aurat perlulah dijaga sebagai mana yang dilandaskan Islam di mana sahaja anda berada, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan. Bersukan bukanlah alasan untuk kita berseluar pendek, berpakaian ketat dan singkat yang tidak mengikut ajaran Islam. Manakala akhawat tidak digalakkan untuk keluar malam serta bermain sehingga lewat malam dan sekiranya ingin juga, silalah menggunakan khidmat yang telah disediakan demi keselamatan dan kehormatan diri anda.

Percampuran antara lelaki dan perempuan terutamanya sewaktu latihan adalah tidak menepati ajaran Islam yang ingin menjaga batas-batas perhubungan antara lelaki dan perempuan. Aksi-aksi yang kurang sesuai dilihat oleh jantina yang berlainan yang dilakukan oleh ikhwah mahupun akhawat perlulah kita hindari untuk masa-masa akan datang. Biarlah apa yang telah berlaku itu kita jadikan sebagai pengajaran dan sempadan supaya tidak berulang kembali. Penggunaan isyarat dan kata-kata yang kurang sesuai dan bersifat offensive juga perlu kita hindari. Dalam penat dan letih bersukan, solat perlulah dijaga serta ditunaikan. Jangan sesekali mengabaikan solat walau dalam apa jua keadaan.

Sahabat-sahabat sekalian,

Saya yakin dan percaya kita semua inginkan Islam yang sebenar-benar Islam. Islam yang menyeluruh, Islam yang memandu kehidupan kita. Islam kita bukan sekadar solat, puasa, zakat dan nikah kahwin semata-mata, tetapi Islam yang kita miliki terdapat di dalam setiap tingkah laku, juga bersukan, berpakaian, pergaulan berlainan jantina, beribadah (beriadah?) dan segala-galanya. Oleh itu marilah kita bersama-sama hidup saling menasihati, betul-memperbetul, tegur-menegur antara satu sama lain ke arah memahami ajaran Islam sebenar tanpa mengira siapa diri kita. Sabda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah Pesananku Kepada Umatku Yang Lain Walaupun Dengan Sepotong Ayat". Namun, tegurlah dengan cara yang tepat dan berhikmah. (and for those on the receiving side, try to accept with open mind and ponder upon it thoroughly. trust me, you can get more benefit by accepting rather than rejecting and dejecting) Janganlah kita membenci seseorang atas perlakuannya, tetapi bencilah perbuatan maksiatnya semata-mata dan jadikan ia sebagai pengajaran untuk diri kita dan sentiasa berusaha membawanya ke jalan yang benar atas dasar kasih sayang kerana ALLAH SWT.

Akhir kalam, sekali lagi tahniah kepada semua yang terlibat dengan KSPCI sama ada secara langsung ataupun tidak kerana anda berjaya memanifestasikan secara perbuatan Erti hidup pada memberi”. Sama-samalah kita berdoa kepada ALLAH swt. agar kita semua dapat hidup dengan harmoni dan berjaya dalam pengajian perubatan serta cemerlang dunia dan akhirat. InsyaALLAH.


Pengerusi PCI

Email: chairman_pci@ yahoo.com

Ym: chairman_pci

Hp No: 0119367282

0 comments: